Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan Singapura memanggil semula tiga diplomatnya yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ketiga-ketiga diplomat terbabit perlu digantikan dengan pegawai-pegawai yang lain kerana mereka telah melanggar etika hubungan diplomatik antara dua negara.
Menurut beliau, tindakan tiga diplomat itu seolah-olah menggambarkan niat mereka untuk mencampuri urusan di sebuah negara asing.
"Apa jua alasan yang diberikan kita tak dapat terima kerana mereka adalah diplomat. Mereka tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan negara kita sebagaimana rakyat Malaysia tidak mencampuri urusan negara lain.
"Perkasa membantah dengan sekeras-kerasnya pembabitan tiga diplomat tersebut dan kita akan menghantar nota bantahan berhubung isu ini kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia pada pukul 12.30 tengah hari esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Perkasa Kali Ke-22 di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan