Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara mendesak pemimpin tertinggi serta Majlis Tertinggi UMNO menarik semula keputusan penangguhan pemilihan parti dan mahu pemilihan itu dilakukan pada tahun hadapan.
Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata ia penting agar satu barisan kepimpinan yang lebih baik dan berupaya untuk mengembalikan keyakinan rakyat dapat dibentuk.
"Ini adalah salah satu cara dalam memberi semula kepercayaan kepada akar umbi dan mengambil sifat terbuka dengan tidak menyekat suara ahli UMNO dalam menyetakan pandangan mereka sehingga pemilihan.
"Malah adalah tidak wajar sekiranya sesiapa pun dipecat atau digantung keahliannya hanya kerana memberi pandangan dalam parti kerana memilih kepimpinan adalah hak ahli. Namun ia berbeza dengan hak presiden dalam menentukan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Jika pemecatan atau penggantungan ahli berlaku, kami percaya UMNO akan terjejas khususnya di Johor dan ia boleh membawa kepada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kerajaan pusat," katanya.
Tambahnya, menyedari keadaan politik pada hari ini, sebagai ahli di peringkat akar umbi pihaknya turut melahirkan rasa bimbang tentang pelbagai isu yang wujud.
Katanya, persepsi kepada pelbagai isu semasa yang berpanjangan dan tidak diambil tindakan yang segera menyebabkan kepercayaan ahli Umno serta rakyat kepada kepimpinan semakin menurun.
Justeru itu, pihaknya meminta agar kepimpinan tertinggi parti dan kabinet yang baharu dibentuk untuk tampil lebih agresif dalam memberi penerangan kepada akar umbi.
"Kita minta barisan kepimpinan untuk turun memberi penjelasan kepada kita di akar umbi kerana yang berhadapan dengan rakyat adalah kami dan yang akan mempertahankan parti juga kami. Maka bantu kami dalam menjelaskan kepada rakyat kebanyakan," katanya lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan