Khalid Samad Fitnah Hasan Ali

Akibat memfitnah Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad diperintah oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar RM200,000 kepada Hasan sebagai ganti rugi am.

Dalam sidang mahkamah semalam, barisan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak rayuan Khalid ke atas liabiliti dan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, lapor Bernama.

BANTAH TPPA DI WWW.JANGANJUALNEGARA.COM

Beliau, bagaimanapun, membenarkan rayuan Khalid untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM100,000 sebagai ganti rugi teruk kepada Hasan.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga menganggotai panel itu bersama Hakim Alizatul.

Pada 31 Okt, 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Hasan selepas memutuskan bahawa beliau berjaya membuktikan bahawa Khalid membuat kenyataan itu dengan niat jahat.

Pada 27 Nov, 2013, Mahkamah Tinggi, dalam prosiding untuk menilai ganti rugi dalam perkaran itu, telah memerintahkan Khalid membayar RM200,000 kepada Hasan sebagai ganti rugi am dan RM100,000 sebagai ganti rugi teruk.

Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan anggota exco negeri memfailkan saman ke atas Khalid kerana mendakwa Khalid telah menuturkan perkataan fitnah ke atasnya dalam sidang media pada 24 Feb, 2012.

Hasan mendakwa bahawa Khalid seterusnya menerbitkan perkataan fitnah itu dalam artikel dalam blognya dan para wartawan dalam sidang media kemudian menyiarkan perkataan-perkataan itu dalam portal berita "mstar" dan "Malaysiakini".

Khalid diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin sementara Hasan diwakili peguam Hasnal Rezua Merican. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan