Pindaan perlembagaan di 5 negeri dibantah

Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kedah hari ini membantah cadangan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) agar dipinda perlembagaan berhubung peranan ibu bapa dalam penukaran agama anak di lima negeri.
   
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata presiden majlis antara agama itu, Jagir Singh, sebelum ini mahu memastikan lima negeri iaitu Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, melakukan pindaan untuk menjadikan undang-undang itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
   
"Kami ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam tidak akan dibenarkan dipinda mengikut tuntutan penganut agama lain, malah soal hukum agama Islam tidak akan tertakluk kepada desakan agama lain.
   
"Pandangan majlis itu tidak boleh dilayan kerana ia mencampuri urusan dalam hukum agama Islam, mencabar kuasa negeri yang berkuasa terhadap agama Islam sekaligus mencabar kuasa sultan yang menjaga urusan agama Islam di negeri-negeri," katanya pada sidang media di pejabat Mapim di sini.
   
Turut hadir wakil beberapa NGO termasuk Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Pusat Santuni Rakyat (PSR) Kedah, dan Pertubuhan Darul Mustafa Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan