Tiada Noktah Buat UMNO Untuk Salam Perpaduan Islam dan Umat Melayu


Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Haji Ahmad Maslan berkata, tidak ada noktah bagi UMNO untuk meneruskan salam perpaduan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Menurut beliau, pendirian itu dibuat kerana jelas usaha perpaduan tidak membawa sebarang kerugian manakala perpecahan itu pula sebenarnya tidak menguntungkan.
“Atas prinsip itu, kita di pihak UMNO sentiasa berlapang dada dan bersedia menyambut salam perpaduan dari mana-mana pihak termasuk Pas demi kepentingan umat Islam,” tegasnya.
Katanya, UMNO tidak bermain politik dalam soal masa depan, kepentingan dan perpaduan umat Islam.
Bagaimanapun jelas beliau, salam perpaduan yang disambut itu bukan bermakna UMNO  berada dalam keadaan terdesak.
Beliau berkata, kesediaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menyahut salam perpaduan daripada Pas sebelum ini adalah kerana lebih mementingkan kesejahteraan umat.
“Kita sambut salam mereka bukan kerana agenda politik tetapi demi kepentingan seluruh umat Islam,” katanya.
Oleh sebab itu katanya, rakyat dan seluruh umat Islam di negara ini sedang memerhati dan menilai siapa sebenarnya yang ikhlas berhubung isu muzakarah UMNO – Pas.
“Dalam keadaan kacau bilau yang dicetuskan oleh pemimpin Pas berhubung muzakarah, rakyat memerhati gelagat mereka yang nampaknya lebih mementingkan agenda politik,” katanya.
Justeru katanya, orang Melayu dan umat Islam yang rasional akan menjatuhkan ‘hukuman’ ke atas Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
“KIta tak tahu bila PRU, tetapi rasanya dah dekat, tunggulah, rakyat yang rasional akan menentukan hukuman terhadap Pas,” ulangnya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian komputer riba 1Malaysia  kepada 300 orang pelajar daripada sekolah-sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di Pusat Rekreasi Cheras, petang tadi (Selasa).
Hadir sama Pengerusi YPC yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mahadi Abd.Shukor, Naibnya, Datuk Haji Md. Nasir Ghani, Ketua Pemuda, Datuk Haji Syed Mehdhar Syed Abdullah, Ketua Puteri, Puan Sarina Sharif dan Setiausaha UMNO Bahagian, Puan Hajah Zurainah Musa.
Menurut Ahamd Maslan lagi, UMNO sebaliknya meletakkkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam melebihi daripada kepentingan lain.
“Oleh sebab itu, apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) menyuarakan soal muzakarah, UMNO menyambutnya dengan baik,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan