Jasa PM dikenang hingga mati

"Kami berasa selesa dan selamat tinggal di rumah baru ini sejak 6 Mei lalu. Malah, saya masih terbayang wajah lembut Perdana Menteri ketika menyerahkan kunci kediaman ini 22 April lalu," kata ibu tunggal Teoh Yang King, 51.
Beliau bersama anak bongsu berusia 26 tahun serta tiga cucu kini tinggal di rumah lebih selesa berharga RM40,000 yang dibina daripada peruntukan Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di tapak rumah lama yang terbakar dengan bantuan Giat Mara.
“Sejak duduk di rumah ini, saya gembira kerana cucu seronok. Rumah serba lengkap ini dianggap tuah kami kerana hanya perlu bawa diri dan selagi saya bernyawa, rumah ini akan dijaga dengan baik, malah gambar Perdana Menteri yang terlekat di kit kecemasan, tidak akan ditanggalkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawi di sini, malam tadi.

Kisah penderitaan Yang King yang membawa keluarganya menumpang di tokong selama tiga bulan selepas rumahnya terbakar adalah antara kehidupan masyarakat menyentuh perasaan Najib.

Perdana Menteri terharu dengan kesusahan Yong King yang terpaksa menempuh pelbagai kesukaran mengharungi kehidupan bersama seorang anak dan tiga cucunya.

Penderitaan keluarga itu diketahui Najib selepas dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman. 
“Terharu saya apabila mendengar kisahnya sehingga terpaksa menumpang di tokong. Beliau tidak mampu mencari kediaman baru kerana tidak bekerja,” kata Perdana Menteri dalam blognya 1Malaysia.com.my semalam.

Najib berkata, kerajaan melakukan terbaik untuk membantu Yang King dengan membina rumah baru di tapak rumah lama selain menggantikan barang yang musnah.

“Ini hanya satu contoh pada peringkat daerah bagaimana kerajaan saya bertekad membantu mereka yang memerlukan, manakala pada peringkat kebangsaan beberapa program dilaksana bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.

“Antaranya, pakej bantuan kewangan untuk isi rumah berpendapatan rendah, baucar buku, klinik dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang disediakan sebagai alternatif murah tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan gaji minimum dalam tempoh masa terdekat akan turut meningkatkan pendapatan lebih 400,000 pekerja.

“Melalui langkah ini, tanggungjawab sosial dan ekonomi kerajaan membantu kehidupan rakyat dipenuhi. Namun, paling penting tanggungjawab moral membantu rakyat ditimpa kesusahan atau memerlukan bantuan kerana ia penanda masyarakat bertamadun,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan