Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyelar tindakan segelintir pihak yang membawa budaya mencetus huru-hara sehingga berlakunya ketegangan dan mengugat ketenteraman awam melalui perhimpunan haram.
Baginda dalam titahnya menyifatkan perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan hanyalah untuk mendapatkan publisiti dan liputan media yang menggambarkan seolah-olah negara dalam keadaan tidak aman.
"Akhir-akhir ini, saya perhatikan wujudnya budaya masyarakat yang cenderung membuat huru-hara dengan mencetuskan ketegangan sehingga menggugat ketenteraman. Golongan ini berhimpun dengan penuh emosi, gagal mengawal diri dan menimbulkan pergaduhan.
"Ingatlah, negara kita sudah bebas merdeka daripada penjajah tetapi bebas ini bukan bermakna kita bebas berbuat apa saja. Bebas di sini adalah kita boleh membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang yang mesti dipatuhi rakyat," titah baginda pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng, di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting.
Sultan Ibrahim turut memberi peringatan supaya seluruh rakyat di negara ini tidak bertindak sesuka hati sehingga membelakangi undang-undang kerana tiada mana-mana negara yang memberi kebebasan mutlak kepada penduduknya untuk melakukan apa sahaja tanpa batas.
"Oleh demikian, semua rakyat mesti patuhi undang-undang. Jika ada perkara yang tidak puas hati, gunakan saluran yang betul. Saya yakin semua rakyat khususnya di Johor menginginkan kedamaian dan keamanan," titah baginda lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan