Ezra Zaid pemilik syarikat ZI Publications tetap akan mempromosi dan menjual buku kontroversi “Allah, Kebebasan dan Cinta” oleh penulis Kanada, Irshad Manji yang diterjemahkan syarikatnya kerana buku itu belum diharamkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ezra, anak kepada ahli politik, Datuk Zaid Ibrahim seperti dilaporkan Berita TV Al Hijrah malam ini berkata selagi tiada pengharaman daripada pihak KDN, maka pihaknya bebas mempromosi buku tersebut.
Selain menjadi pengurus dan penerbit buku Irshad Manji di Malaysia melalui syarikat ZI Publications, Ezra juga merupakan pengarah PopDigital Sdn Bhd yang menerbitkan program PopTeeVee yang bertujuan untuk menyuntik idea liberal dan progresif di Malaysia.
PopTeeVee dilaporkan mendapat tajaan dari The Knight Foundation sebuah yayasan dana berpengkalan di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Irshad Manji yang dikenali umum sebagai seorang lesbian terus mempertahankan gaya hidup songsang itu ketika diwawancara Malaysiakini.
Penulis yang pernah berguru dengan Salman Rusdie itu berkata dia menolak pandangan ulama yang menolak gay dan lesbian, sebaliknya menurut ijtihatnya sendiri Al Quran itu tidak membenci golongan gay dan lesbian kerana ia juga ciptaan Tuhan.
Selain daripada membela golongan gay dan lesbian, Irshad turut dikenali ramai kerana menyokong perkahwinan antara individu Muslim dengan individu berlainan agama tanpa perlu menukar agama masing-masing.
Mengulas lanjutu, Irshad berkata ia dirumuskan berdasarkan interpretasinya terhadap Al-Quran dan juga ijtihad yang dilakukannya.
Katanya, dia tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa hanya kerana berbeza pendapat dengan orang lain dalam perkara tersebut.
“Mungkin saya perlu minta keampunan dari Tuhan pada hari pengadilan dan Tuhan yang penuh dengan kasih sayang pastinya akan memberikan saya perbicaraan yang adil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan