Pemimpin akar umbi masih menaruh harapan agar UMNO dapat meneruskan pemilihan kepimpinan parti itu pada tahun ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh turut berpandangan sekiranya pemilihan itu dapat diadakan, perwakilan mampu untuk memilih pemimpin yang disukai rakyat.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh menang PRU15 dengan undi ahlinya sahaja tanpa mendapat undi daripada rakyat.
Menurutnya, persepsi rakyat yang menolak sesetengah pemimpin UMNO perlu diambil perhatian dan UMNO perlu mengikut arus denyut nadi rakyat, bukan sentimen ahli UMNO semata-mata untuk menang PRU15.
"Kali ini perwakilan UMNO perlu bermentaliti untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU), bukan setakat menang jawatan dalam parti sahaja.
"Tanpa menidakkan jasa-jasa pemimpin lama, UMNO perlu 'move on' sebagai parti yang segar sepanjang zaman.
"Parti yang dibarisi pelapis dari kalangan orang muda. Undi (pengundi) 18 (tahun) merupakan cabaran dan setakat ini belum ada signal positif dari golongan ini kepada UMNO," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam pada beberapa pemimpin UMNO yang mahukan PRU diadakan sebaik sahaja isu Covid-19 selesai, UMNO juga perlu bersedia untuk membariskan pemimpin yang berkaliber.
"(Pemimpin) yang bersih dan yang disukai rakyat untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri alternatif sekiranya dalam PRU15 nanti UMNO tidak bersama Perdana Menteri yang ada sekarang," katanya.