PUTRAJAYA 29 Jan. – Datuk Sakib Kusmi dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen berkuat kuasa 2 Februari ini menggantikan Datuk Seri Mustafa Ibrahim.Sakib, 58, yang berasal dari Batu Pahat, Johor sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen sejak 9 April 2012.
Mustafa pula dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri berkuat kuasa 2 Februari ini.
Sakib berkata, beliau akan menumpukan kepada usaha-usaha penguatkuasaan untuk membendung sindiket atau ejen yang memberi ancaman jenayah, keganasan dan pemerdagangan manusia.
Katanya, Jabatan Imigresen di bawahnya akan meneruskan apa jua transformasi yang dirancang oleh kepimpinan sebelumnya dalam menjamin kecemerlangan jabatan tersebut.
"Saya berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan ini untuk menerajui Jabatan Imigresen. Kita akan pikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada negara melalui aktiviti yang kita laksanakan.
"Saya sedar mandat yang diberi ini adalah tugasan yang mencabar kerana Jabatan Imigresen juga diminta untuk meneruskan usaha membantu menjana pendapatan negara," katanya ketika ditemui dalam majlis perjumpaan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen bersama pengarah-pengarah di sini hari ini.
Sementara itu, Mustafa berkata, Jabatan Imigresen akan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam masa terdekat.
Tambahnya, program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini untuk diberikan permit kerja yang sah.
Jelasnya, program itu juga dilaksanakan bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar PATI di negara ini untuk tujuan pemantauan keselamatan.
"Saya menyeru majikan untuk menyertai program ini apabila ia dilaksanakan nanti. Pelaksanaan program ini juga berdasarkan beberapa syarat yang akan diperkenalkan nanti.
"Apa yang lebih utama selain dapat menjana pendapatan negara, kita akan dapat mengetahui jumlah sebenar PATI di negara ini," jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan