Pemimpin akar umbi Umno Cawangan lancar gerakan lawan 14 ketua bahagian tajaan Najib mahu singkir Mukhriz

Pemimpin akar umbi Umno cawangan di Kedah hari ini mengadakan sidang media melancarkan gerakan melawan kumpulan ketua bahagian yang mendesak peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 29 Januari, 2016.

Pemimpin akar umbi Umno cawangan di Kedah hari ini melancarkan gerakan melawan kumpulan ketua bahagian yang mendesak peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Langkah itu sebagai tindak balas terhadap tindakan14 ketua Umno bahagian Kedah yang secara tiba-tiba membuat keputusan mendesak Mukhriz berundur minggu lepas.

Empat cawangan dalam bahagian Merbok di Kedah iaitu Bandar Laguna, Taman Badlishah, Taman Pinang dan Taman Bunga Raya hari menyatakan kekecewaan terhadap kemelut politik melanda negeri itu.

Jurucakap kumpulan itu, Mejar Anwar Abd Hamid menyifatkan tindakan ketua bahagian mereka, Datuk Tajul Urus Mat Zain, salah seorang dalam kumpulan mendesak Mukhriz berundur merupakan satu pengkhianatan kepada pengundi kawasan itu.

"Apa yang kita kecewa sangat ialah ahli akar umbi beberapa kali ditipu, malah mereka tidak pernah datang meminta pandangan ahli akar umbi atau meminta kebenaran daripada kami.

"Adakah ketua bahagian kita membentang apa kesalahan yang dilakukan oleh menteri besar Kedah? Adakah menteri besar Kedah ini ada skandal atau rasuah? Ketua bahagian kita tidak pernah meminta kebenaran kita," kata Anwar pada sidang media bersama kira-kira 50 orang ahli Umno akar umbi petang tadi.

Anwar berkata, tindakan ketua bahagian mengenepikan suara akar umbi sebagai suatu yang keji dan menafikan hak ahli Umno.

"Perbuatan ketua-ketua bahagian ini sangat keji," katanya.

Dalam pertemuan dengan ahli peringkat cawangan hari ini, Anwar juga berkata mereka membuat pendirian supaya Mukhriz dikekalkan sebagai menteri besar dan menghentikan pergolakan politik yang merugikan Umno kelak.

"Kekalkan menteri besar, semua ahli exco dan pasukan sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka bagi memajukan negeri Kedah.

"Hentikan tindakan yang bersifat politiking yang merosakkan parti dan negeri kerana ia akan merencatkan pembangunan negeri, penyatuan rakyat dan kedudukan Umno serta Barisan Nasional (BN)," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata kumpulan itu akan bergerak ke seluruh negeri bertemu dengan pemimpin cawangan untuk mendesak supaya menghentikan kemelut politik di Kedah.

"Kami akan bermula di sini dan bergerak ke seluruh negeri Kedah bagi mengajak ketua-ketua cawangan untuk menentang ketua bahagian yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Bandar Laguna Zahran Abdullah berkata satu himpunan akan diadakan di kawasannya bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz pada 5 Februari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan