AMK PKR tuntut Azmin cermin diri sebelum kritik TPPA

Tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik kelulusan Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditempelak ahli parti itu sendiri, malah cara dan amalan pentadbiran Azmin sendiri sebagai Menteri Besar Selangor pula yang dipertikaikan.

Kritikan Azmin di Facebook beliau dibalas Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Bukit Gantang, Faisal Zainal yang sebaliknya menyuruh Azmin mencermin mukanya dahulu sebelum mengkritik penyertaan kerajaan dalam TPPA.

Ini kerana menurut Faisal, Azmin sendiri dianggap sebagai pemimpin yang lemah kerana gagal menangani beberapa isu di Selangor antaranya seperti kos menambahbaik pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

"Nak cakap isu besar TPPA, cermin dulu wahai Azmin Ali, lantikan majlis pun tak selesai dengan aman, ibarat rumah siap pahat berbunyi, tak perlu pusing cerita lah, laksanakan pilihanraya tempatan di Selangor," ujarnya menerusi laman sosial Facebook, Jumaat.

Sebelum ini, kenyataan Azmin yang dimuatnaik jam 10.12 pagi semalam dan mendapat like sebanyak 384 menyebut bahawa apabila kepimpinan negara lemah, kepentingan rakyat dan negara turut akan tergadai.

Tambah Azmin, ia jelas disaksikan apabila TPPA ditandatangani dalam keadaan yang tergesa-gesa sekaligus mendakwa Putrajaya telah mengorbankan kedaulatan rakyat bagi menjaga kepentingan geo-strategik Amerika.

Dalam pada itu, Faisal turut membidas kenyataan Azmin berkenaan kepimpinan politik yang memerlukan political will.

"Kepimpinan perlu political will? Kamu buat lawak apa Azmin? Isu pembaziran cat pintu gerbang Selangor RM9.8 juta. Kamu dah jawab? Akhirnya guna nama istana kata itu duit derma.

"Adakah ini yang dinamakan kepimpinan political will?" soalnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan