Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) mahu para pemimpin kepada lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bertaraf 'ayahanda' yang mengguna pakai gelaran 'Datuk' atau 'Datuk Seri' tidak diiktiraf supaya bersikap telus dengan membuat pengakuan terbuka mengenai perkara tersebut.Pengerusi Eksekutifnya, Syed Husain Al-Shahab berkata, agak sukar untuk mengesan mana-mana pemimpin NGO berkenaan yang menerima pakai gelaran itu memandangkan ada dalam kalangan mereka yang telah lama diberikan gelaran tersebut dan ada juga yang tidak tahu bahawa gelaran tersebut tidak diiktiraf di negara ini.dalam masa yang sama katanya, sebagai sebuah NGO, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pemimpin yang menerima pakai gelaran berkenaan disebabkan ketiadaan undang-undang khas berhubung pemakaian gelaran itu dalam kalangan NGO ketika ini.
"Pada perkiraan saya, dalam kalangan pemimpin NGO yang memakai gelaran 'ayahanda' ini, tidak kurang daripada 100 orang yang menerima gelaran 'Datuk, 'Datuk Seri', 'Datuk Seri Paduka Diraja' dan sebagainya terutamanya dalam kalangan presiden, timbalan dan ahli-ahli NGO. yang tak ada (gelaran) cuma saya.saya sahaja yang tak pakai gelaran-gelaran ini."Daripada jumlah tersebut pula, seingat saya, yang terbukti sah (gelaran) dalam kalangan NGO bertaraf 'ayahanda' ini cuma ada tiga orang sahaja iaitu dua daripadanya dikurniakan oleh Sultan Pahang manakala satu lagi oleh Sultan Selangor.Ketiga-tiga penerimanya masing-masing terdiri daripada dua orang presiden NGO dan seorang yang bertaraf timbalan."Itu memang sah. Yang lain saya tak pasti. Tapi, besar kemungkinan yang lainnya itu semua tidak diiktiraf di negara ini," katanya dalam satu sidang akhbar
Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif baru-baru ini mendedahkan, terdapat segelintir individu yang sanggup membayar RM40,000 hingga RM100,000 bagi memiliki darjah kebesaran dan pingat palsu dari negara jiran.dalam perkembangan berkaitan, Syed Husain mencadangkan supaya satu penyelarasan dibuat terhadap penerima gelaran-gelaran yang tidak diiktiraf itu termasuk upacara 'pemulihan adat'."Kita tahu, ada dalam kalangan pemimpin NGO 'ayahanda' yang ditawarkan gelaran ini oleh pihak luar dan mereka terus menerimanya disebabkan tidak mendapat pengiktirafan di tempat sendiri, tidak tahu undang-undang dan sebagainya."Dengan adanya penyelarasan dan upacara 'pemulihan adat' ini, YAS akan cuba mengumpul balik penerima-penerima gelaran ini. Mereka ini sebenarnya pun banyak berjasa kepada negara. Ada yang pernah menjadi pemimpin masyarakat, pegawai polis, pegawai kerajaan dan ahli politik. Jadi, mereka inilah yang sewajarnya diberikan pengiktirafan oleh kerajaan," katanya.
Tambah Syed Husain, sebagai sebuah NGO yang ditubuhkan untuk mempertahankan institusi diraja dan Kesultanan Melayu, YAS bersedia memikul tanggungjawab tersebut sekali gus berusaha membersihkan nama NGO-NGO berkaitan yang tercemar ekoran isu memalukan seperti ini."Sebagai pemimpin atau ketua NGO, kalau kita buat benda tak betul, pakai benda tak betul, kesannya akan melibatkan semua pihak. Imej 'ayahanda' yang kita bawa selama ini juga akan tercemar dan orang akan ketawakan kita nanti," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan