Ketua Pemuda UMNO Malaysia Tidak Takut Hilang Jawatan

Khairy tidak takut hilang jawatan pertikai isu SPRM

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau rela menerima nasib sama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin jika tindakannya mempertikaikan pertukaran pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak disenangi kerajaan.

Menurut beliau, berdasarkan pendirian sesuatu yang benar mesti dipertahankan.

Tambahan pula, katanya, pertukaran dua pegawai kanan agensi pencegahan rasuah itu berlaku tanpa pengetahuan kabinet.

Ahli Parlimen Rembau berkata, pertukaran itu berlaku selepas mesyuarat kabinet.

"Jadi mana kita tahu. Kita pun tak tahu," kata Khairy di sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan wanita, pemuda dan puteri Umno bahagian Klang, hari ini.

Khairy menambah, sekiranya berpeluang beliau akan membawa sendiri isu itu kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamza selepas ini.

Benarkan siasat dengan bebas

"Saya akan tanya dia (Ali Hamsa), kenapa ini berlaku? Adakah sesuai untuk membuat pertukaran ini dalam situasi sekarang?" katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu menegaskan SPRM mesti diberi kebebasan untuk menjalankan tugas tanpa sebarang sekatan atau ugutan.

Semalam Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dalam pertukaran mengejutkan banyak pihak.

Pengumuman itu dibuat ketika SPRM berdepan siasatan polis berhubung dakwaan berlaku kebocoran maklumat kerajaan.

Pada masa sama SPRM sedang menjalankan siasatan kes berprofil amat tinggi kerana membabitkan perdana menteri secara langsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan