Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan tidak mempunyai niat tersembunyi di sebalik tindakan mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang mempunyai peranan penting dalam menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Malah tegas Perdana Menteri, keputusan kerajaan mengekalkan dan menambah baik akta itu juga bukan bertujuan untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, matlamat utama akta tersebut adalah melindungi semua rakyat serta memelihara kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan memastikan penguatkuasaan Akta Hasutan dilakukan secara adil dan sesiapa sahaja yang menghina agama dan kaum lain akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Amat penting untuk kita melakukannya agar tidak berlaku konflik di antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP Ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden PPP, Tan Sri M. Kayveas; Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin D’ Cruz serta pemimpin parti-parti komponen BN dan PPP yang lain.
Perdana Menteri menambah, negara-negara maju juga tidak terkecuali daripada menghadapi situasi ketegangan kaum dan ini dapat dilihat dalam insiden rusuhan yang berlaku di Ferguson, Missouri, Amerika Syarikat (AS) dan London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Menurut beliau, para perusuh yang tidak berpuas hati dengan keputusan juri mahkamah daerah Ferguson untuk tidak mengenakan dakwaan terhadap seorang pegawai polis berkulit putih yang menembak mati seorang remaja berkulit hitam pada Ogos lalu telah melakukan kerosakan dengan membakar kenderaan dan merampas barangan di premis-premis perniagaan.
“Jika rusuhan seperti itu berlaku di Malaysia, keadaan akan menjadi sangat buruk. Orang ramai akan terbunuh dan segala yang kita bina sejak merdeka akan musnah dalam sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, pakatan pembangkang selama ini cuba memprovokasi sentimen rakyat dengan membangkitkan isu-isu yang lazimnya tidak tepat dan telah diputarbelitkan melalui media sosial.
“Mereka menggunakan media sosial untuk memusnahkan kepercayaan rakyat dengan mereka-reka persepsi yang salah terhadap kerajaan dan pemimpin,” jelasnya.
Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, strategi yang digunakan pakatan pembangkang itu tidak selari dengan hasrat mematangkan amalan demokrasi di negara ini.
Najib turut meminta semua pemimpin dan ahli BN bekerja keras untuk menangkis segala tohmahan dan pembohongan yang disebarkan oleh pakatan pembangkang dengan menggunakan platform yang sama.
“Kita sepatutnya berkempen dengan menjadikan agenda dan dasar kerajaan termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagai asas perbandingan dengan agenda serta dasar pakatan pembangkang.
“Rakyat bukan sahaja boleh membandingkan dasar-dasar kita malah boleh menilai keupayaan BN dalam memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan