PAS Selangor mengambil keputusan untuk mengerahkan jenteranya turun membantu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Jaafar Samsudin berkata, satu pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dengan pemimpin PAS Selangor diadakan minggu lalu bagi meredakan ketegangan yang timbul dikalangan akar umbi.
Katanya, persetujuan dibuat selepas menerima penjelasan daripada Azmin mengenai perubahan DUN Kajang atas alasan ia ‘kerusi kepunyaan PKR’.
“Kita bersetuju dengan semua rancangan mereka. Kita hanya akan memberikan tumpuan dan membantu PKR mempertahankan Kajang,” katanya ketika dihubungi.
Beliu enggan mendedahkan butiran penjelasan yang diberikan Azmin namun memberi jaminan ianya ‘untuk kebaikan bersama’.
“PAS Selangor akan mula bergerak minggu ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi,” katanya.
Bagaimanapun, difahamkan pertemuan itu tidak menyentuh tentang spekulasi peralihan kerusi Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebaliknya fokus kepada isu dalaman di Selangor yang memaksa PRK Kajang diadakan.
“Pelannya sulit untuk didedahkan tetapi umumnya ia untuk kebaikan bersama dan kita bersetuju,” katanya.
Beberapa pemimpin PAS minggu lalu memberikan respon negatif selepas bekas penyandang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan semata-mata untuk memberikan laluan kepada Anwar bertanding di Kajang.
Tindakan itu dianggap seolah-olah membelakangi PAS malah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga mengakui tidak tahu menahu tentang krisis di Selangor sehingga menyebabkan PRK di Kajang.
Azmin kemudiannya memberi kenyataan mahu berjumpa dengan pemimpin PAS di Selangor bagi menjelaskan perkara sebenar.
Walaupun beberapa pemimpin PAS Pusat termasuk Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu menyokong tindakan Anwar, namun pemerhati masih menunggu pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat masih membisu mengenai isu ini.
Abdul Hadi dijangka akan membuat kenyataan rasmi esok selepas mesyuarat Biro Politik bagi membincangkan mengenai isu Kajang dan kerusi Menteri Besar malam ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan