Menurutnya, ia dilakukan bagi mengalihkan isu mengenai surat misteri BankLeak’ yang membabitkan beliau baru-baru ini.
Oleh itu, jika benar Anwar ikhlas mahu berdialog, kata Ruslan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu didesak menandatangani surat kebenaran kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendedahkan maklumat mengenai akaun yang dinyatakan dalam surat misteri terbabit.
” Sebagai prasyarat membuktikan beliau berniat ikhlas mahu berdialog dengan pihak kerajaan, kita meminta Anwar untuk menandatangani surat kebenaran kepada BNM bagi mendedahkan maklumat sulit peribadi dan baki wang di dalam akaun seperti yang dinyatakan dalam surat misteri tersebut.
” Setelah beliau menandatangani surat kebenaran tersebut, barulah Anwar layak mengemukakan cadangan untuk berdialog dengan pihak kerajaan.
“Jika Anwar teramat sibuk dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan surat kebenaran tersebut, saya kemukakan cadangan draf surat untuk ditandatangani oleh Anwar bagi membolehkan media mendedahkan maklumat sulit berkaitan akaun berkenaan. Kebenaran dari beliau adalah penting bagi pendedahan maklumat untuk membuktikan dakwaan seperti dalam surat misteri tersebut adalah benar atau tidak,” katanya kepada Utusan.
Pendapat yang sama sebelum ini oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Mohd. Puad dilaporkan Utusan berkata Anwar bimbang sekiranya surat misteri yang sedang disiasat polis tersebut menjejaskan imej dan kredibiliti beliau di mata rakyat.
Menurut beliau, Anwar tidak mempunyai sebarang asas untuk mengadakan dialog dan beliau juga bukan Presiden PKR yang layak tampil berdialog dengan kerajaan mengenai isu kepentingan negara.
“Kita berasa sangsi kenapa Anwar mahu mengadakan dialog dan ini menjadi bukti beliau cuba mengalih isu yang pernah didedahkan bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail berhubung 6,000 keping surat misteri melibatkannya dan Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baru-baru ini, Mazlan mendedahkan beliau menerima kira-kira 6,000 surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang menceritakan ‘urus niaga’ Anwar dan Karpal.
Namun, Anwar dan Karpal ketika membuat laporan polis terhadap pengedaran surat misteri tersebut menafikan dakwaan wujud ‘urus niaga’ antara mereka, sebaliknya mendakwa perkara itu fitnah UMNO.
Menurut Mohd. Puad, sekiranya pemimpin pembangkang itu serius mahu mengadakan dialog perkara tersebut perlu dibawa ke Parlimen dan dibincangkan secara terbuka.
Katanya, rakyat perlu mengetahui isu yang mahu dibawa Anwar itu bukan bertujuan memerangkap kerajaan.
“Kita anggap beliau mempunyai agenda lain, kalau tarikh 16 September pun boleh berbohong apatah lagi tentang dialog ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, isu tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat MT yang diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.
Katanya, dalam perbincangan itu semua MT sebulat suara menolak dialog tersebut daripada diadakan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan