Rata-rata penduduk di Taman Sri Periok di sini masih takut dengan insiden letupan bom yang mengorbankan Mohd. Yusrizal Mat Zain sehingga ada dalam kalangan mereka tidak lagi berani keluar malam.
Seorang penduduk, Kamaruddin Che Mat, 56, berkata, dia masih ada perasaan takut dan sentiasa terbayang-bayang kejadian menimpa kerani Sekolah Kebangsaan Manek Urai di Kuala Krai yang mati dalam keadaan menyedihkan.
“Jika saya sendiri takut apatah lagi anak-anak penduduk di sini. Kini ada yang tidak mahu lagi tidur berseorangan di dalam bilik,” kata Kamaruddin ketika ditemui di sini semalam.
Selain itu, menurut Kamaruddin, sejak kejadian tersebut ramai penduduk di taman itu tidak keluar malam kerana takut dengan perbuatan jenayah yang kejam itu.
“Jadi saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera untuk mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku pada masa hadapan.
“Ini merupakan pengalaman pertama berlaku dalam sejarah hidup saya. Jika sebelum ini kejadian serangan bom hanya berlaku di negara jiran namun kali ini ia terjadi di depan mata,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan