“Saya dan rakan-rakan tidak berani keluar rumah selama empat hari kerana bimbang menjadi mangsa peluru sesat yang dilepaskan pihak berkuasa untuk menyuraikan para penyokong bekas Presiden Mohamed Morsi.”
Demikian luah seorang pelajar Jurusan Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Umairah Nor Azah, 23, ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kaherah, Mesir awal pagi semalam.
Umairah memberitahu, perasaan takut itu terbawa-bawa ke dalam tidur kerana setiap malam suasana kawasan kediamannya di Kaherah begitu bising dengan bunyi tembakan serta helikopter yang melakukan tinjauan di udara.
“Hampir setiap malam akan kedengaran kejadian berbalas tembakan, kami tidak berani untuk melihat suasana di luar rumah kerana bimbang terkena peluru sesat.
“Sepanjang tempoh berkurung kami terlebih dahulu pastikan bekalan makanan mencukupi selain sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan di Mesir,” katanya.
Umairah adalah antara 409 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir yang selamat tiba di KLIA awal pagi semalam selepas menaiki tiga pesawat berbeza melalui Ops Piramid 2.
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan