Tindakan kerajaan meminda sebarang polisi yang telah dilaksanakan, bukan satu langkah negatif sebaliknya, ia bukti kerajaan responsif terhadap kehendak rakyat.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pengubahsuaian dalam polisi kerajaan sesuatu perkara yang normal kerana mengikut keadaan semasa.
“Walaupun nampak seperti kerajaan tidak laksanakan polisi itu dengan baik, namun kadang-kadang polisi memang cantik dari segi teori tetapi tidak praktikal apabila dilaksanakan.
“Isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) contoh terbaik, kesannya kepada kerajaan banyak tenaga dan wang awam telah digunakan untuk perbincangan isu tersebut,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan perlu menggantikan polisi yang dimansuhkan kepada polisi yang lebih praktikal dan baik untuk rakyat.
“Tindakan ini harus dipuji kerana kerajaan responsif terhadap kehendak rakyat menolak polisi seperti AES. Ini menunjukkan kerajaan melaksanakan janjinya iaitu rakyat didahulukan,” katanya.
Pendapat sama turut di utarakan oleh Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod bahawa pengubahsuaian sesuatu polisi juga bukti keterbukaan kerajaan terhadap apa yang dilaksanakn.
“Polisi tidak seperti undang-undang, kalau undang-undnag nak pinda kena bawa pergi Parlimen, polisi boleh ubah bila-bila masa.
“Cuma kalau ubah ada implikasi politik misalnya pembangkang akan kata kerajaan berdolak dalik. Tetapi kalau memang perlu ubah akhirnya akan ubah juga sebab ada polisi yang tidak berkesan,” katanya.
Tambah beliau, antara implikasi lain adalah dari segi kewangan dan perundangan.
Menjadikan isu AES sebagai contoh, Nik Ahmad Kamal menjelaskan, perkara itu melibatkan kos yang tinggi apabila kerajaan perlu bayar pampasan kepada syarikat yang telah menguruskan AES sebelum ini.
“Kerajaan perlu dengar, sebab yang bantah AES bukan hanya pembangkang tetapi ada juga pengundi BN yang tidak berpuas hati.
“Kerajaan sedia semak semula bukan bermaksud kerajaan terima semua kritikan tetapi kerajaan mendengar mana yang beri faedah kepada majoriti rakyat itu diutamakan,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan