Syabu Lebih Bahaya dari Heroin Dan Kokain

"Kesan pengambilan methamphetamine syabu lebih berbahaya daripada heroin dan kokain kerana ia boleh membakar hujung saraf akar otak atau dalam bahasa saintifik 'axon'.

"Syabu juga merosakkan otak bahagian depan menyebabkan penagih dadah itu agresif dan terlalu sensitif hingga hilang kawalan." Demikian kata Pakar Perubatan Penagihan Dadah dan Pakar Psikiatri Dr Mahmud Mazlan ketika menyuarakan kebimbangannya mengenai gejala penagihan dadah jenis syabu yang semakin menular dalam kalangan remaja Malaysia.

Menurutnya, penagih syabu yang masih berusia belasan tahun amat berisiko tinggi berhadapan gejala skizofrenia selepas mengalami beberapa tahap termasuk penumpuan terganggu, halusinasi dan kurang daya tahan marah.

Dr Mahmud berkata, akibatnya, penagih syabu menjadi terlalu agresif sehingga sanggup mencederakan, malah membunuh diri dan orang yang mereka sayang termasuk ibu bapa sendiri.

"Saya pernah mengendalikan kes remaja berusia 16 tahun terjebak dalam gejala syabu yang hampir menikam ayahnya sebab ternampak bayangan menakutkan di wajah ayahnya itu.

"Remaja itu kami terpaksa rawat di wad khas. Dalam kes itu, keluarganya sempat menyedari selepas enam bulan anak mereka terjebak dalam penagihan syabu," katanya yang juga pemilik Pusat Rawatan Pakar Dr Mahmud, Muar, Johor.

Menurutnya, bagi kanak-kanak atau remaja yang terjebak dengan syabu, kesan buruk syabu boleh berlaku dalam tempoh lebih cepat iaitu antara tiga hingga empat bulan selepas menagih berbanding sembilan bulan hingga setahun bagi dewasa.

"Lebih membimbangkan tiada rawatan khusus untuk pengguna dadah syabu seperti terapi penggantian metadon bagi dadah heroin.

"Jadi, penagih syabu amat sukar dipulihkan. Dalam kes remaja berusia 16 tahun itu, dia yang kini sudah berusia 19 tahun dan baru berkahwin, namun masih menjalani rawatan berkala sehingga sekarang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa peka dengan anak jika terdapat tanda awal mengambil syabu iaitu paten tidur yang tidak normal, cepat marah, tukar personaliti, hilang malu, agresif, badan selalu menggeliat dan tidak boleh berdiri lama.

"Pengguna syabu boleh tidak tidur sehari dan tidur dua tiga hari atau sebaliknya. Itu tanda utama. Jangan main-main dengan ketagihan syabu sebab jika tanda utama ini diabaikan, tanda lewat ialah ibu bapa terpaksa panggil polis apabila anak itu terbabit jenayah termasuk membunuh," katanya.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan