Para majikan di negara ini diminta jangan memberi sebarang alasan lagi untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum selepas tempoh itu tamat pada 31 Disember ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, mana-mana majikan yang didapati gagal mematuhi arahan terbaharu itu perlu dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Tidak ada sebab lagi untuk majikan menangguhkan perkara itu.
"Saya kira pemberian tempoh masa yang diberikan ketika ini sudah cukup untuk memberikan ruang dan peluang kepada majikan membuat persediaan bagi menstrukturkan semula gaji pekerja serta operasi perniagaan masing-masing," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib bahawa kerajaan tidak akan mempertimbangkan lagi sebarang rayuan oleh majikan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum selepas tempoh itu tamat pada 31 Disember ini.
Menurutnya, sebarang permohonan rayuan untuk melanjutkan pelaksanaannya tidak sepatutnya dikemukakan kerana akan menyukarkan kerajaan mencapai status negara maju.
Kadar gaji minimum bagi Semenanjung ditetapkan RM900 sebulan manakala Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM800 sebulan).Menurut Omar, pelaksanaan gaji minimum itu secara keseluruhannya mampu memberikan keselesaan kepada pekerja, apatah lagi dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan taraf kehidupan yang semakin tinggi.
Beliau turut mengingatkan majikan agar lebih bertimbang rasa dan tidak bersikap mementingkan keuntungan semata-mata dalam menjayakan pelaksanaan gaji minimum itu.
"Sekiranya selepas tempoh penangguhan pun masih terdapat majikan yang degil, saya sarankan pekerja untuk segera buat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan