Kerajaan Diminta Wujud Gudang Barang Binaan 1Malaysia

Kerajaan diminta agar mewujudkan Gudang Barang Binaan 1Malaysia supaya kontraktor projek pembangunan rumah mampu milik khususnya mendapat keperluan bahan binaan berkualiti pada harga berpatutan, kata Senator Norliza Abdul Rahim.
Beliau berkata, ini merupakan satu inisiatif untuk memastikan masalah projek rumah mampu milik terbengkalai dapat dielakkan.
"Kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia dan sebagainya. Jadi tiba masanya kerajaan wujudkan gudang tersebut yang dapat membantu kontraktor meneruskan projek tanpa sebarang masalah kekurangan keperluan bahan binaan.
"Projek yang berjalan lancar akan memastikan golongan yang memerlukan rumah mampu milik dapat tinggal di rumah yang mereka idamkan berdasarkan tempoh siap yang ditetapkan,” kata Norliza ketika membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, peningkatan harga bahan binaan menjadi antara penyebab sesebuah projek terbengkalai.
Beliau sekali gus meminta kerajaan mengkaji semula senarai bahan binaan dalam Pengiraan Perubahan Harga (VOP) supaya tidak terhad kepada 16 sahaja berikutan kenaikan kos bahan binaan kebelakangan ini.
"VOP ini diperkenalkan untuk mengurangkan kerugian kepada kontraktor namun masih gagal mengekang masalah projek terbengkalai di negara ini,” katanya.
Antara 16 bahan yang tersenarai dalam VOP ialah besi, simen, batu dan keluli yang membabitkan hanya 35 hingga 40 peratus kos binaan sahaja, katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan