ATM Lindungi Kedaulatan Negara - Panglima TUDM

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata evolusi keupayaan TUDM sudah diperkasakan daripada 
segala dimensi supaya keupayaan itu dapat diperkukuhkan secara total. 
Ia, katanya, merangkumi penstrukturan organisasi, perolehan aset tempur canggih, pembudayaan nilai teras dan pembangunan modal insan berkualiti. 

Beliau berkata, dengan ketumbukan yang mantap, ia akan dapat meyakinkan 

rakyat bahawa Angkatan Tentera Malaysia khususnya TUDM benar-benar mampu 
melindungi kedaulatan dan kepentingan strategik negara. 

"Ini telah dibuktikan dengan pencapaian warga TUDM menabur bakti di bawah 
panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan dan Afganistan dan Tim Pemantau 
Antarabangsa di Mindanao," katanya. 
Rodzali berucap pada Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus 
Asas Penerbangan Siri 74 dan Kursus Asas Helikopter Siri 54/12, di Kolej Tentera 
Udara Alor Setar di Kepala Batas dekat sini, hari ini. 

"Kecemerlangan TUDM juga terbukti semasa Operasi Daulat di Sabah baru-baru 
ini di mana juruterbang TUDM yang terlatih telah membuktikan kecemerlangan mereka ketika mengendalikan pesawat dan persenjataan moden," katanya. 

Beliau turut memberi amaran, bahawa TUDM tidak akan berkompromosi dengan 
warganya yang melanggar disiplin penerbangan dan memudaratkan nama baik pasukan 
itu. Katanya, tindakan tegas termasuk diberhentikan daripada perkhidmatan akan diambil jika perlu. 

Terdahulu, tiga pelatih terbaik menerima anugerah masing-masing iaitu bagi
kategori Terbaik Penerbangan Sayap Kaku dimenangi oleh Lt Ungku Mohamad Nizam 
Ungku Abdul Rahman; Terbaik Penerbangan Helikopter, Lt Khairulanam Hafiy 
Abdullah; dan Terbaik Akademik, Lt Mohamad Amirol Mohd Deran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan