19 kedai makan diarah tutup

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengarahkan 17 gerai dan dua restoran di kawasan Seksyen 2, di sini ditutup serta-merta selepas didapati tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian dalam Ops Makanan Tak Suci kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 3.30 petang itu, sebanyak 24 gerai dan restoran di kawasan berkenaan diperiksa 75 anggota serta pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pihaknya menjalankan operasi itu bagi meningkatkan penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan.
“Premis makanan yang tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti peralatan serta pengendalian makanan yang tidak bersih akan diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja pembersihan.

“Sekiranya pemilik tidak mematuhi perintah penutupan itu, mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media selepas operasi itu di Seksyen 2, dekat sini.

Dr Azman berkata, operasi itu juga bertujuan memastikan premis makanan yang diperiksa berdaftar dengan Sistem FoSIM Domestik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan proses pemantauan pihak jabatan.
Foto
DR Azman (kanan) melihat lantai di sebuah gerai makan yang sudah rosak.


Katanya, setakat ini, hanya 8,098 daripada 26,122 premis makanan di seluruh Selangor yang telah berdaftar di bawah sistem itu dan pihaknya berharap selepas pemeriksaan seumpama ini, pemilik perniagaan mempunyai kesedaran untuk mendaftar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan