Bekas ahli majlis mendakwa wujud pemimpin tertentu dalam DAP yang campur tangan dalam pelantikan ke jawatan itu bagi kuota parti itu hingga mengetepikan nama yang sudah dipilih.
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi penggal Julai 2010 hingga Febuari 2012, K Yogasigamany berkata, pihaknya kesal dengan perbuatan itu yang dilihat bercanggahan dengan prinsip parti itu.
Menurutnya, pemimpin yang memegang jawatan Exco itu juga cuba menyingkirkan namanya dan beberapa nama lain dipilih dengan meletak calon lain pada saat akhir.
“Saya kesal dengan situasi ini kerana saya juga menjadi salah seorang mangsanya. “Nama saya juga dicalonkan untuk Ahli MBSA bagi penggal 2012-2013 oleh DAP Selangor.
Bagaimanapun nama saya tidak diluluskan pemimpin tersebut dan digantikan dengan pihak lain pada saat akhir.
“Saya lihat tindakan pemimpin tersebut keterlaluan kerana ia adalah keputusan DAP Selangor namun beliau sanggup mengetepikan keputusan itu dengan meletak calon pilihannya,” dakwanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Cawangan Taman Chi Liung Indah mendakwa, tindakan pemimpin itu dilakukan tanpa kebenaran DAP Selangor berdasarkan kenyataan yang dibuat di sebuah media oleh seorang pemimpin tertinggi DAP Selangor yang mengakui tindakan itu.
Walaupun begitu, katanya, pihaknya dan beberapa nama lain yang digugurkan diberikan khabar gembira apabila ditempatkan di pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
“Namun begitu saya menolak tawaran itu kerana tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan pemimpin itu.
“Tambahan lagi kami dilantik selepas tiga bulan ahli majlis lain mengangkat sumpah. Saya menerimanya dalam keadaan gembira bercampur duka,” katanya.
Sehubungan itu, Yogasigamany berharap pemimpin atasan DAP dapat mengambil tindakan terhadap pihak yang mencampuri urusan pemilihan berkenaan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan