Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menganjurkan Himpunan Oren, Selamatkan Felda pada 14 Julai ini di Kuala Lumpur sebagai usaha untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, perarakan yang akan disertai 20,000 peserta itu akan turut memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong.
“Peguam kami kini di persiapan terakhir untuk menghalang penyenaraian ini, termasuk memohon injunksi mahkamah kerana kita telah guna pelbagai cara bagi menghalang FGVH disenaraikan.
“Kami mahu kerajaan memikirkan semula buruk baik penyenaraian ini yang melibatkan 97 peratus orang Melayu," katanya.
Menurut Mazlan, sekiranya bantahan ini tidak dipedulikan, pendekatan lebih ekstrem akan digunakan agar kerajaan mendengar rintihan rakyat, termasuk menyerahkan memorandum kepada Agong bagi memohon campur tangan Majlis Raja-Raja.
Katanya, pada hari tersebut, peserta akan berkumpul di luar masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta dan berarak menuju ke Istana Negara yang baru, di situ bermula jam 2 petang.
“Kami menjangka sekurang-kurangnya 20,000 orang akan menghadiri perhimpunan tersebut. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengetuai perarakan sejauh dua kilometer itu.
“Kami juga telah menghantar surat undangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam perhimpunan Bersih, PPSMI, Lynas dan GMI untuk turut serta," katanya selepas menyerahkan Memorandum Tanah Rakyat kepada Menteri Besar, di Nusajaya, di sini, semalam.
Mazlan turut memberitahu, pihaknya menerima berita bahawa rakan strategik bagi penyenaraian FGVH yang berpangkalan di Perancis telah menarik diri di saat-saat akhir untuk menjadi rakan kongsi.
"Alasan mengapa syarikat terbabit yang memeterai memorandum di London itu berbuat demikian akan disiasat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan